Monday, January 18, 2010

Perkembangan Projek Tanaman Keledek Oren



















Sehingga Januari 2010, usia tanaman keledek oren yang sedang kami usahakan telahpun mencecah usia 2 bulan (60 hari) dari tarikh ia mula ditanam. Kami menjangkakan lebih kurang 2 bulan lagi untuk memungut hasil keledek oren yang pastinya menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Pada masa ini, aktiviti kami lebih tertumpu kepada kawalan rumput dan binatang/serangga perosak seperti ulat pengorek buah, tikus, babi hutan dan lain-lain lagi. Kawalan dan penjagaan semestinya melibatkan aktiviti merumput, menyembur racun serangga dan baja cecair bagi memastikan produk yang dihasilkan mencapai standard yang ditetapkan oleh FAMA.


Satu perkara ingin kami kongsikan bersama anda adalah kami mengamalkan kaedah kawalan serangga secara biologi di mana kami mengalihkan perhatian serangga-serangga perosak ke arah pokok-pokok jagung yang sengaja kami tanam di lokasi-lokasi tertentu di celah-celah batas tanaman keledek oren berkenaan (Sila lihat gambar yang disediakan). Melalui kaedah ini, serangga-serangga berkenaan akan tertumpu kepada bunga-bunga yang terdapat pada pokok-pokok jagung yang terbukti mempunyai daya tarikan secara biologi. Kesannya, serangga perosak yang hinggap pada tanaman keledek oren berkurangan seterusnya mudah untuk dikawal. Nilai tambah kepada kaedah kawalan biologi ini adalah produk tanaman yang mesra pengguna kerana kurang menggunakan racun/bahan kimia dan mengurangkan kos perbelanjaan membeli racun serangga.

Seperkara lagi, usaha penerokaan pasaran juga telah mula kami laksanakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pihak FAMA serta peraih-peraih yang berkaitan. Selain FAMA, kami merancang untuk memasarkan sendiri produk pertanian ini dengan membuka gerai-gerai sementara bagi mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Walau bagaimanapun, perancangan ini tertakluk kepada kesesuaian masa dan kesediaan kami dari segi sumber tenaga buruh. Dari perspektif ekonomi, pengkhususan kepada sesuatu bidang adalah lebih efektif dari segi kos kesan faedah daripada ekonomi bidangan.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memasarkan/membeli keledek oren bermutu dan mesra alam sila hubungi kami di 012-3804242. Harga boleh dirunding. Pertanian adalah perniagaan.....mesti untung maaa!!!!!


No comments:

Post a Comment