Wednesday, June 23, 2010

Tapak Cadangan Tanaman Pisang






Salam sejahtera pembaca sekalian,

Semoga segala-segalanya di dalam perlindung-Nya. Kalau di ruangan yang lalu, saya telah berkongsi cerita mengenai kebun pisang yang sedang saya usahakan bersama seorang rakan kongsi, kali ini saya akan menulis mengenai satu tapak cadangan baru untuk tanaman pisang dan kelapa sawit.


Kisahnya bermula apabila seorang pemilik tanah yang juga merupakan sepupu saya yang bercadang untuk menggantikan tanaman sedia ada di kebun kelapa miliknya kepada tanaman kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Satu cadangan lisan dikemukakan semasa pertemuan pertama yang berakhir dengan sedikit harapan untuk dipertimbangkan dengan syarat mendapat restu daripada suami pemilik tanah berkenaan.

Pertemuan susulan dirancang dan Alhamdulillah, jawapan yang diberikan memberangsangkan apabila tuan tanah pada dasarnya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan awal. Pemilik tanah bersetuju untuk melantik saya sebagai 'care taker' kebun seluas 1 ekar berkenaan termasuk tanggungjawab mengantikan tanaman sedia ada kepada tanaman kelapa sawit. Segala kos penyediaan kawasan, pembersihan, anak benih dan upah tanah anak benih kelapa sawit akan dikongsi bersama. Sebagai balasan, pemilik bersetuju untuk membenarkan pengusaha menanam tanaman pisang@ tanaman kontan yang bersesuaian sebagai tanaman selingan dicelah-celah anak benih kelapa sawit yang akan ditanam nanti. Selaku 'care taker' juga pengusaha berhak mendapat 50% daripada hasil jualan kelapa sawit apabila tanaman ini mengeluarkan hasilnya kelak.

Selepas persetujuan dimeterai, saya pun memulakan perancangan untuk mengusakan tanah berkenaan sepertimana diamanahkan.

Satu lawatan tapak bersama Wak Amat Tulus, Otai Excavator telah dibuat untuk mengenalpasti sempadan kawasan, skop kerja tanah yang perlu dilaksanakan dan terma-terma lain termasuk harga dan perkara-perkara lain. Harga yang dicaj tertakluk kepada bilangan pokok kelapa tua yang boleh dijual semula secara 'contra sales'. Setelah kami telah bersetuju dengan terma berkenaan, Wak Amat telah menetapkan tarikh dan tempoh untuk memulakan serta melangsaikan tugasan yang diamanahkan.

Walau bagaimanapun, sehingga tarikh 'post' ini ditulis.....tiada excavator, kapal korek, kapal cangkul, mahupun jentera yang sama spesis dengannya menjalankan tugas membersihkan tanah berkenaan. Yang ada hanyalah pohon-pohon kelapa tua, rambutan mandul, jambu dan lain-lain yang senantiasa menanti dengan setia ketibaan sang sangap berantai merentap dan merebahkan pautan lemah akar pohonan ini ke bumi. Kita berjumpa lagi di lain ruangan. Insya Allah.

Sunday, June 20, 2010

Pisang BerangannnnnnKu.....











Salam sejahtera semua. Syukur ke hadrat Illahi dapat kita berkongsi pengalaman diruangan blog ini. Alhamdulillah, tanaman pisang berangan seluas 1 suku ekar yang mula diusahakan pada bulan Mac 2010 telah pun menjangkau usia 3 bulan. Pada awalnya, kawasan penanaman pisang ini merupakan sebidang tanah kebun kelapa yang tidak terpelihara dengan dipenuhi oleh semak-samun terdiri daripada pelbagai spesis flora dan fauna.

Setelah mendapat persetujuan daripada pemilik tanah berkenaan, saya bersama seorang rakan kongsi (Saudara Kemi, seorang Broker Hartanah terkenal seantaro Tg. Karang) telah memulakan operasi membersihkan kawasan berkenaan menggunakan mesin pemotong rumput, parang dan tulang empat kerat sahaja...maklumlah modal tak cukup nak sewa excavator. Apa pun Alhamdulillah dengan berkat ketabahan dan kesabaran yang diberikanNya, kami berjaya membersihkan kawasan berkenaan dalam masa 2 minggu.

Setelah siap menebas, kami menjalankan kerja-kerja menyembur racun rumpai jenis serap jenis Ecomax agar saki baki rumput yang masih degil dapat dimusnahkan. Pada masa yang sama, kami mula mendapatkan benih yang diperolehi daripada Wak Mat Sg. Yu, seorang Otai Pisang dari Kg. Sg. Yu, Kuala Selangor yang berbaik hati membenarkan kami mengambil anak-anak benih pisang dari kebun beliau. Kerja-kerja memungut anak benih pisang mengambil masa 2 hari sebelum dapat kami tanam di kawasan tanah yang telah dibersihkan.

Kerja-kerja menanam dijalankan secara berperingkat menggunakan khidmat 2 orang pekerja sambilan (Awe & Erol) mengambil masa selama 1 minggu. Pemantau dilakukan setiap minggu dan seusia 2 minggu, baja urea mula ditabur bagi menghijaukan lagi anak benih yang mula mengeluarkan tunas baru. Alhamdulillah, setelah selesai menjalankan kerja pembajaan urea kali kedua, tanaman pisang kami mulai menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sepertimana yang dipaparkan didalam gambar yang kami ambil baru-baru ini. Ketika gambar diambil, kerja meracun rumput di celah-celah tanaman pisang sedang dijalankan dan belum siap sepenuhnya...tu yang nampak rumput menghijau macam padang golf. Harapan kami agar pembaca semua mendoakan kejayaan projek tanaman pisang berangan kami. Amin