Tuesday, January 19, 2010

Projek Baru Pertama Tahun 2010





Tahun 2010 menghidangkan pelbagai peluang kepada yang berminat dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk meningkatkan hasil pendapatan khususnya dalam bidang pertanian. Kerajaan dalam Bajet 2010 yang dibentangkan pada penghujung 2009 telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 Billion termasuk subsidi, insentif dan bantuan kepada sektor pertanian. Terpulanglah kepada kita sama ada ingin menjadi sebahagian daripada peserta atau terus menjadi pemerhati yang selesa dengan hanya memeluk tubuh diri sendiri. "Tepuk dada tanyalah diri anda sendiri" kerana "selera" yang sentiasa melengkapi bidalan ini telah sekian lama menipu kita dengan imiginasi-imiginasi indah yang sukar menjadi realiti.

Pedulikan apa orang akan kata....mulakan dengan lafaz bismillah, susun langkah dan mulakan langkah pertama di tahun 2010 ini dengan azam yang terpahat kukuh disanubari. Kalau bangsa asing boleh berjaya, kalau orang lain boleh berjaya, kalau orang yang kurang upaya boleh berjaya, mengapa kita yang sempurna akal dan sifat ini tidak mampu turut sama berjaya.

Berbekalkan tekad yang murni ini, penulis Malaysiabestfarm telah memulakan tahun 2010 dengan menebus hak pengusahaan sebidang tanah rizab talian TNB di Seri Tiram Jaya daripada serang rakan tani yang bersimpati dengan nasib penulis. Tanah seluas 1 ekar berkenaan pada asalnya milik pengusaha berketurunan cina mula diusahakan oleh rakan tani berkenaan dengan tanaman ubi kayu. Oleh kerana bersimpati dengan penulis yang kekurangan tanah untuk diusahakan maka rakan tani berhati mulia berkenaan telah bersetuju untuk menukarkan hak pengusahaan tanah rizab berkenaan kepada penulis.

Bertitik tolak dari lafaz akad pertukaran hak milik yang dibuat pada 15hb. Januari 2010, maka penulis telah mengajak beberapa rakan kongsi untuk mengusahakan tanah berkenaan dimulai dengan kerja-kerja membersihkan rumput liar yang tumbuh di atas tanah berkenaan (Sila rujuk gambar).

Insya Allah, penulis akan sentiasa mengemaskini perkembangan projek berkenaan untuk tatapan pelawat-pelawat Malaysiabestfarm. Sama-sama kita berdoa agar segala yang diusahakan memperoleh rahmat-Nya. Amin

Monday, January 18, 2010

Perkembangan Projek Tanaman Keledek Oren



















Sehingga Januari 2010, usia tanaman keledek oren yang sedang kami usahakan telahpun mencecah usia 2 bulan (60 hari) dari tarikh ia mula ditanam. Kami menjangkakan lebih kurang 2 bulan lagi untuk memungut hasil keledek oren yang pastinya menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Pada masa ini, aktiviti kami lebih tertumpu kepada kawalan rumput dan binatang/serangga perosak seperti ulat pengorek buah, tikus, babi hutan dan lain-lain lagi. Kawalan dan penjagaan semestinya melibatkan aktiviti merumput, menyembur racun serangga dan baja cecair bagi memastikan produk yang dihasilkan mencapai standard yang ditetapkan oleh FAMA.


Satu perkara ingin kami kongsikan bersama anda adalah kami mengamalkan kaedah kawalan serangga secara biologi di mana kami mengalihkan perhatian serangga-serangga perosak ke arah pokok-pokok jagung yang sengaja kami tanam di lokasi-lokasi tertentu di celah-celah batas tanaman keledek oren berkenaan (Sila lihat gambar yang disediakan). Melalui kaedah ini, serangga-serangga berkenaan akan tertumpu kepada bunga-bunga yang terdapat pada pokok-pokok jagung yang terbukti mempunyai daya tarikan secara biologi. Kesannya, serangga perosak yang hinggap pada tanaman keledek oren berkurangan seterusnya mudah untuk dikawal. Nilai tambah kepada kaedah kawalan biologi ini adalah produk tanaman yang mesra pengguna kerana kurang menggunakan racun/bahan kimia dan mengurangkan kos perbelanjaan membeli racun serangga.

Seperkara lagi, usaha penerokaan pasaran juga telah mula kami laksanakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pihak FAMA serta peraih-peraih yang berkaitan. Selain FAMA, kami merancang untuk memasarkan sendiri produk pertanian ini dengan membuka gerai-gerai sementara bagi mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Walau bagaimanapun, perancangan ini tertakluk kepada kesesuaian masa dan kesediaan kami dari segi sumber tenaga buruh. Dari perspektif ekonomi, pengkhususan kepada sesuatu bidang adalah lebih efektif dari segi kos kesan faedah daripada ekonomi bidangan.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memasarkan/membeli keledek oren bermutu dan mesra alam sila hubungi kami di 012-3804242. Harga boleh dirunding. Pertanian adalah perniagaan.....mesti untung maaa!!!!!