Tuesday, May 19, 2009

Bakteria Mesra Pertanian

Terdapat beberapa kumpulan bakteria yang memberi faedah kepada aktiviti pertanian yang dipakai dalam penghasilan kompos iaitu EM atau bakteria setempat IMO. Bakteria-bakteria ini wujud bersama-sama dalam bentuk koloni, setiap satu mempunyai fungsi tersendiri dan saling bergantungan antara satu sama lain.

EM boleh dikelaskan kepada 4 kategori yang besar iaitu kumpulan bakteria fotosintetik, bakteria asid laktik, actinomycetes dan yis. Pengelasan ini yang paling mudah difahami dan konsep umum. Bakteria fotosintetik adalah bakteria yang memerlukan cahaya matahari untuk menghasilkan makanannya. Ada banyak bakteria dalam kelas ini, contohnya Chromatrium sp., Chlorotium sp., R. sphaeroldes dan Rhodobacter. Kumpulan ini bertanggungjawab menghasilkan asid amino, asid neukleik, mengikat nitrogen dari udara dan menukarkan gas-gas beracun seperti gas ammonia dan gas hidrogen sulfida kepada unsur nitrogen yang dapat digunakan oleh tumbuhan.
Bakteria asid laktik berfungsi untuk mempercepatkan penguraian dan proses penapaian bahan organik. Penghasilan asid laktik oleh bakteria ini mempercepat penguraian lignin dan selulosa yang merupakan struktur kompleks karbohidrat. Contohnya L. casei, L. plantarium, Streptococus laktis dan Psedococus sp. Asid laktik akan menekan pertumbuhan patogen dan mengurangkan populasinya.

Actinomycetes merupakan mikroorganisma yang suka tolong menolong. Ia selalunya akan wujud bersama bakteria fotosintetik. Seperti jiran-jiran yang baik, actinomycetes akan menggunakan asid amino yang dihasilkan oleh bakteria fotosintetik tadi untuk menghasilkan satu bahan antikuman. Contoh : Micromonospora sp., Nakarda sp., Propinis bakterium sp., Streptomyces albus dan S. griscus.

Kumpulan terakhir ialah yis. Contohnya Canerda c. utilis, S. cerevisiae dan Sacharomyces. Yis menghasilkan substrat / bahan makanan untuk bakteria asid laktik dan actinomycetes, hormon, enzim dan bahan antibiotik.

Pun begitu, terdapat juga kumpulan cendawan penapaian dalam EM tadi. Cendawan ini mempercepatkan penguraian bahan organik, menghasilkan sejenis antimikrob daripada ester alkohol, menghilangkan bau busuk serta mencegah serangga dan ulat perosak. Contohnya Aspergillus oryzae, A. niger, Muchorhiermalis penicillium.

No comments:

Post a Comment