Monday, November 30, 2009

Projek Tanaman Keledek Oren






Setelah berjaya memungut hasil tuaian keledek krim, kami telah melangkah setapak lagi dengan memulakan projek tanaman keledek oren yang dijangka mampu memberi pulangan yang lebih tinggi. Inisiatif ke arah projek ini telah dimulakan dengan perbincangan dengan pegawai FAMA Kuala Selangor dan Unit Konsultasi, Jabatan Pertanian, Putrajaya. Setelah berpuas hati dengan saranan dan nasihat daripada pihak berkaitan kami telah memutuskan untuk memulakan projek tanaman keledek oren di atas tanah sedia ada yang sebelum ini telah ditanam dengan tanaman jagung manis taiwan hybrid. Projek ini telah dimulai dengan kerja-kerja penyediaan tanah yang dilaksanakan seawal bulan Oktober 2009. Setelah berpuas hati dengan keadaan tanah, kami telah menghubungi shifu keledek kami yang terkenal dengan panggilan Wak Sardi yang mengusahakan tanaman keledek seluas 25 ekar di Kawasan Agrotek Ulu Chuchoh, Sepang. Lanjutan daripada perbincangan kami dengan shifu berkenaan, kami telah memulakan projek tanaman keledek oren pada 16hb. November 2009 dengan berbekalkan benih/keratan keledek yang dibeli daripada shifu kami. Kerja-kerja penanaman mengambil masa lebih kurang 1 minggu dengan tenaga pekerja seramai 2-3 orang tetapi agak terganggu kelancarannya atas sebab kekangan cuaca. Pada masa ini, keratan keledek yang ditanam telah mula bertunas dan kami menganggarkan akan memulakan kerja-kerja pembajaan urea (peringkat pertama) pada minggu ketiga.

Projek Tanaman Keledek Krim






Syukur Alhamdulillah projek tanaman keledek krim yang telah kami usahakan sejak 9hb Ogos 2009 telah matang dan mula dituai hasilnya pada 21hb. November 2009. Walaupun hasil yang kami perolehi tidak seberapa berbanding dengan tanaman lain seperti cili merah dan rock melon, tetapi kami tetap bersyukur dan berbangga kerana berjaya menyempurnakan projek berkenaan. Dengan kos penanaman dan penjagaan yang agak minimum, tanaman keledek berkenaan mampu mengeluarkan hasil sepertimana yang kami jangkakan. Apa yang lebih berharga bagi kami adalah pengalaman mengusahakan tanaman keledek yang mungkin tidak dapat diperolehi oleh petani-petani lain.

Apa yang lebih membanggakan adalah kejayaan kami memasarkan hasil tanaman kami ke FAMA yang diakui sukar untuk ditembusi oleh petani-petani lain kerana mengamalkan standard hasil tuaian yang berkualiti tinggi.

Terima kasih kami ucapkan kepada pelbagai pihak yang telah memberi tunjuk ajar, nasihat dan sokongan yang membina berkenaan selok belok penanaman keledek sehingga projek ini berjaya.