Kerja-kerja memotong rumput, meracun dan membersih kawasan telah dilakukan oleh kami sendiri. Selepas itu, jentera pembajak memulakan tugas 'plowing' & rotor untuk mengoksigenkan semula lapisan tanah bahagian dalam serta meleraikan ikatan tanah agar pengudaraan dapat berjalan lancar. Kami juga terpaksa melevelkan semula permukaan tanah agar keadaan topografi tanah berkenaan mempunyai bacaan grid yang lebih selaras. Ini penting bagi mengurangkan risiko fenomena banjir terutama ketika hujan lebat berterusan diikuti air laut pasang besar. Kerja-kerja rotor halus dan membuat batas dilakukan menggunakan jentera khas. Kerja-kerja tanah telah dipantau dan diketuai oleh saudara Zuanda yang memiliki pengalaman luas dalam kerja-kerja penyediaan tanah sawah dan kebun.
Pada masa yang sama, kami memulakan kerja-kerja menyemai benih cili yang dibuat di atas tray semaian menggunakan tanah semaian import. Kerja-kerja menyemai benih diketuai oleh saudara Zaki yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang semaian benih cili.
Setelah berpuas hati dengan keadaan tanah kami biarkan tanah berkenaan selama sebulan bagi menstabikan semula struktur tanah sebelum kerja-kerja memasang plastik sungkupan dilakukan. Seterusnya kerja-kerja membuat lubang pada permukaan plastik dilakukan sebelum aktiviti mengalihkan benih cili dapat dimulakan menggunakan khidmat tenaga kerja sambilan.
Sehingga post ini ditulis projek tanaman cili berkenaan adalah sepertimana di dalam gambar yang disertakan. Insya Allah saya akan berkongsi pengalaman berkaitan perkembangan cili berkenaan di ruangan lain.